CANBERRA, 1 Julai – Kerjasama strategik antara Kumpulan Weststar dan Rocket Technologies International (RTI) dalam sektor aeroangkasa, pertahanan, satelit dan teknologi maju berpotensi menjana nilai komersial jangka panjang melebihi RM42 bilion.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim berkata, kerjasama itu dimeterai menerusi Perjanjian Usahasama Strategik yang turut membuka ruang kepada pembangunan teknologi dan pewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Kerjasama ini akan meningkatkan pengetahuan kita dalam industri aeroangkasa, termasuk teknologi satelit dan roket.

“Ia juga akan menyokong pemindahan ilmu kepada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia supaya lebih ramai saintis, jurutera dan juruteknik dapat dilahirkan pada masa hadapan,” katanya.

Menerusi perjanjian itu, kedua-dua syarikat akan menubuhkan entiti usaha sama di Malaysia dan Australia bagi membangunkan keupayaan strategik dalam sektor aeroangkasa dan pertahanan.

Antara bidang yang diberi tumpuan ialah pembuatan dan pemasangan sistem pertahanan bersepadu, pembangunan sistem satelit, perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta ujian roket.

Usahasama berkenaan turut menyokong aspirasi Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Australia dalam memperkukuh kerjasama ekonomi, teknologi dan industri berteknologi tinggi.

Perjanjian ditandatangani Tan Sri Dr. Syed Azman bersama Pengasas RTI, Allan James Payne, pada satu majlis yang berlangsung di sini, hari ini.

Majlis itu disaksikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Datin Paduka Sharrina Abdullah.

Sumber: https://berita.rtm.gov.my/niaga/senarai-berita-niaga/senarai-artikel/kerjasama-weststar-rti-berpotensi-jana-nilai-komersial-lebih-rm42-bilion/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *