
Malaysia Sasar Mulakan Pengeluaran Roket Dalam Tempoh Dua Tahun
CANBERRA: Malaysia menyasarkan untuk memulakan pengeluaran roket dalam tempoh dua tahun sebagai langkah awal sebelum membangunkan keupayaan menghasilkan misil pada masa akan datang.
Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin berkata, sasaran itu dijangka dapat direalisasikan menerusi kerjasama strategik antara syarikat tempatan dan rakan industri antarabangsa.
Menurut beliau, kerajaan menyokong penuh kerjasama yang dimeterai antara Weststar Defence Industries Sdn Bhd dan syarikat aeroangkasa serta teknologi pertahanan Australia, Rocket Technologies International Pty Ltd (RTI), dalam usaha memperkukuh pembangunan teknologi aeroangkasa negara.
Katanya, kerjasama berkenaan selari dengan hasrat Malaysia untuk membina keupayaan sendiri dalam pembangunan serta pengeluaran roket, sebelum memperluaskan kapasiti kepada teknologi misil.
Beliau turut menjelaskan bahawa pelaburan dilakukan oleh Weststar Defence membuka peluang kepada Malaysia untuk menyertai rantaian bekalan global RTI, sekali gus memberi ruang kepada syarikat tempatan mengembangkan penyertaan dalam industri pertahanan antarabangsa.
Tambahnya, pelaburan strategik itu bukan sahaja dijangka memberi manfaat kepada industri pertahanan tempatan, malah mampu memperkukuh keupayaan pertahanan negara bagi jangka panjang.
Beliau berkata, inisiatif tersebut juga seiring dengan aspirasi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang memberi penekanan kepada pembangunan industri pertahanan tempatan dan pengukuhan keupayaan pertahanan negara.
Dalam masa sama, Mohamed Khaled merakamkan penghargaan kepada kerajaan Australia atas sokongan terhadap kerjasama serta pemindahan teknologi yang dipersetujui antara RTI dan Weststar Defence.
Terdahulu, beliau yang kini dalam rangka lawatan kerja rasmi selama tiga hari ke Australia menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian kerjasama strategik antara Weststar Defence Industries dan Rocket Technologies International (RTI).
Perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Pengasas dan Pengarah Urusan Weststar Group, Syed Azman Syed Ibrahim, bersama Pengasas RTI, Allan James Payne.
Sumber: https://abiqverse.my/malaysia-sasar-mulakan-pengeluaran-roket-dalam-tempoh-dua-tahun/