
CANBERRA, 1 Julai 2026 – Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin telah menyaksikan majlis pemeteraian kerjasama strategik antara Weststar Defence Industries Sdn. Bhd. dan Rocket Technologies International (RTI) Pty Ltd sempena lawatan kerja rasmi beliau ke Australia. Kerjasama ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh keupayaan industri pertahanan negara, khususnya dalam bidang teknologi roket dan misil.
Kerjasama tersebut akan membuka ruang kepada pemindahan teknologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan modal insan serta kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi. Selain itu, pembinaan kemudahan pengeluaran di Malaysia dijangka membolehkan pengeluaran roket dimulakan dalam tempoh dua tahun sebelum berkembang kepada pengeluaran misil pada masa hadapan, sekali gus membuka peluang kepada industri tempatan untuk menyertai rantaian pembekalan global.
Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) dalam memperkukuh keupayaan industri pertahanan tempatan dan membina keupayaan pertahanan negara yang berdaulat. Menteri Pertahanan turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Australia atas sokongan terhadap kerjasama dan pemindahan teknologi tersebut serta mengucapkan tahniah kepada Weststar atas komitmen melabur dalam bidang strategik demi memperkukuh ekosistem pertahanan negara.