
KUALA LUMPUR 1 Julai – Kumpulan Weststar dan syarikat Australia, Rocket Technologies International Pty Ltd (RTI) memeterai satu perjanjian usaha sama strategik yang dijangka membuka peluang komersial bernilai melebihi RM42 bilion dalam bidang aeroangkasa, pertahanan, satelit dan teknologi maju.
Kerjasama itu dimeterai melalui Weststar Defence Industries Sdn Bhd dengan kedua-dua pihak merancang menubuhkan entiti usaha sama di Malaysia dan Australia bagi membangunkan keupayaan teknologi berdaulat dalam sektor aeroangkasa dan pertahanan.
Perjanjian tersebut ditandatangani di Pusat Konvensyen Nasional di Canberra oleh Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan The Weststar Group, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim serta Pengasas RTI, Allan James Payne.
Majlis berkenaan turut disaksikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Datin Paduka Sharrina Abdullah.
Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak akan memberi tumpuan kepada pembangunan dan pemasangan sistem pertahanan bersepadu, platform satelit awam serta satelit khas untuk kegunaan kerajaan dengan kandungan dan reka bentuk tempatan.
Selain itu, usaha sama ini turut merangkumi pembangunan perkhidmatan ujian roket, pensijilan, serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), di samping meneroka keupayaan pelancaran orbit dan sub-orbit pada masa hadapan.
Kerjasama ini juga dijangka memperkukuh ekosistem industri tempatan melalui pemindahan teknologi, penglibatan syarikat tempatan serta pembangunan rantaian bekalan dalam sektor berteknologi tinggi.